Khamis, Julai 01, 2010

Generasi Muda Mesti Sedar Tanggungjawab

Sikap tak kisah hak sebagai pengundi boleh gugat kuasa orang Melayu pada masa depan

KEGAGALAN golongan muda mendaftar sebagai pengundi baru kini menjadi persoalan penting serta cabaran baru dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia.

Di kebanyakan negara demokrasi apabila seseorang itu mencapai usia 18 atau 21 tahun mereka perlu mendaftar bagi membolehkan mereka mengundi, seterusnya menentukan parti mana yang akan membentuk sesebuah kerajaan.

Apakah masalah atau kekangan sehingga membuatkan golongan muda ini tidak mendaftar sebagai pengundi, walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan bagi membolehkan mereka ini mendaftar seterusnya dapat membuang undi pada pilihan raya umum atau kecil yang akan diadakan.

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, undi golongan minoriti mampu menentukan kemenangan sesebuah parti jika kaum majoriti yang layak mengundi tidak mahu atau mengambil mudah akan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno, baru-baru ini mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga bulan ini ialah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40).

Pengerusi biro itu, Hishamudin Yahya, ketika mendedahkan perkara itu melahirkan kebimbangan dengan senario itu yang seharusnya menyedarkan orang Melayu di negara ini bahawa kuasa politik mereka boleh terhapus jika terus enggan mendaftar sebagai pengundi atau mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Fenomena tidak mendaftar sebagai pemilih atau keluar mengundi dikatakan sebagai satu aliran yang boleh dilihat di mana-mana negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Eropah. Dikatakan semakin maju sebuah masyarakat, semakin kurang rakyatnya keluar mengundi pada pilihan raya.

Jika aliran itu benar, apakah pemilih yang keluar mengundi Presiden Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menunjukkan kurang 50 peratus rakyatnya keluar mengundi, bermakna presiden negara itu sebenarnya dipilih oleh golongan minoriti? Apakah negara yang menggunakan pakai sistem demokrasi berparlimen melalui pilihan raya seperti Malaysia bakal berhadapan situasi sama?

Beberapa faktor dikatakan menjadi punca golongan muda yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi seperti sikap selesa dengan keadaan semasa dan tidak mahu menempuh kesulitan kerana perlu menukar alamat pada kad pengenalan bagi membolehkan seseorang itu mendaftar mengundi di tempat tinggal masing-masing.

Ada juga golongan ini yang beranggapan satu undi mereka tidak akan membawa makna dan perubahan serta berpendapat mendaftar sebagai pengundi sesuatu yang remeh.

Namun, golongan muda ini khususnya orang Melayu mungkin tidak sedar bahawa kegagalan mereka mendaftar sebagai pengundi dan mengundi pada pilihan raya akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa walaupun mereka majoriti di negara ini.

Pensyarah program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat, berkata jika kadar pendaftaran pengundi Melayu kekal begitu ia akan memberi kesan kepada keupayaan orang Melayu mempertahankan kuasa politik mereka.

Berdasarkan keadaan itu, katanya, memang jelas kesedaran dari aspek tanggungjawab kenegaraan di kalangan pengundi muda terutama dalam kalangan orang Melayu rendah berbanding kaum lain yang lebih memahami kedudukan mereka sebagai minoriti.

“Kebanyakan golongan muda Melayu lahir dalam keadaan semuanya sudah tersedia dan tidak perlu bagi mereka bersusah payah, apatah lagi untuk mendaftar sebagai pemilih,” katanya.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP parti terbesar mewakili kaum Cina dalam pakatan itu melihat ada peluang untuk mereka meraih lebih banyak kerusi sama ada di Parlimen atau kerajaan negeri seperti yang berlaku di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, katanya, untuk memastikan suasana dan momentum kemenangan itu dipertahankan, DAP perlu mencari sebanyak mungkin pengundi berdaftar terutama golongan muda yang layak untuk mengundi pada PRU ke-13.

Beliau berkata, peluang untuk memenangi sesuatu pilihan raya itu dilihat lebih terbuka, apabila orang Melayu berpecah dalam beberapa parti yang mewakili orang Melayu di negara ini dan ia sekali gus tidak lagi menjadikan mereka kaum majoriti.

Mendapat sokongan pengundi adalah penting kerana tidak ada gunanya sesebuah parti itu mempunyai ramai penyokong, tetapi ketika sama mereka ini tidak layak mengundi disebabkan tidak mendaftar.

Oleh Ridzuan Yop
ridzuanyop@bharian.com.my
2010/07/01

Ahad, Jun 20, 2010

Anak Yang Taat…

Hari itu-selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke K. Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan.

Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki - berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.


'Abg nak beli kuih?' Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya. "Tak apalah di kl... abg dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya. "Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat Setiap yang lalu ditanya... " Tak nak beli kuih saya bang.. Pak cik... kakak atau makcik." Molek budi bahasanya!

Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha.

Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya. Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman.

Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun. "Abg dah kenyang, tapi mungkin abg perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang. katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

" Ambil ni dik! Abang sedekah... tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak.

Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya
.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu. "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya. "Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu? Duit tu abg bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. "Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma ngangguk. Lidah saya kelu nak berkata. "RM25 saja bang.....! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke K. Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah??

Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!!!

(Tulisan diambil dr iluvislam.com)

Khamis, Mei 20, 2010

Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian

Oleh Nik Suhaila Nik Saleh
2010/04/15
ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada binatang dan alam.

Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.

Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Play Strategy Game on MarketGlory

Pengikut

Lihat Juga