Khamis, Mei 20, 2010

Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian

Oleh Nik Suhaila Nik Saleh
2010/04/15
ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada binatang dan alam.

Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.

Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Play Strategy Game on MarketGlory

Pengikut

Lihat Juga