Terdapat ralat dalam alat ini

Khamis, Ogos 19, 2010

Maharaja Benua Islam Siam berasal dari kesultanan Kedah

SILA BACA, “ 50 TAHUN LEBIH MERDEKA TAPI BUTA SEJARAH BANGSA”


MAHARAJA BENUA ISLAM SIAM BERASAL DARI KESULTANAN KEDAH – BERKETURUNAN MERONG MAHAWANGSA (WARAN WONG SER).
BAGINDA ADALAH CUCU KEPADA MAHARAJA CINA ISLAM IAITU
MAHARAJA SAI TEE SUNG .

RINGKASAN SALASILAH MAHARAJA BENUA ISLAM SIAM NAGARA KEDAH PASAI

SALSILAH DIRINGKASKAN KE TAHUN 1424
BERMULA DENGAN

SYAH ALAM YANG MAHA MULIA SULTAN AKHBAR, INDIA
ZAHARUDDIN MOHAMMAD BAHADUR SYAH
MAHA TAMMARAJA, BABU MONGHUL 1530
BERKAHWIN DENGAN
PUTERI NUR AISYAH (MAHIN INTA TIRAL) IBNI
SULTAN RIJALUDDIN MUHAMMAD SYAH III
SULTAN RIJALUDDIN TELAH MEMBINA KOTA LUKUT, DAN MEMBUKA MELAKA DARI SEBUAH KAMPUNG NELAYAN MENJADI SEBUAH PELABUHAN. BAGINDA DIGELAR PARAMESWARA MELAKA (1424 – 1491) KISAH MELAKA DIBUKA OLEH PUTERA MAJAPAHIT BERAGAMA HINDU BERNAMA PARAMESWARA ADALAH KARUT SEMATA-MATA DAN MERUPAKAN DAKYAH PENJAJAH INGGERIS UNTUK MENJATUHKAN PORTUGIS YANG LEBIH DAHULU MELEPASI CAPE HORN DI AFRIKA SELATAN DAN SAMPAI KE TIMOR. PORTUGIS TIDAK PERNAH MENYERANG MELAKA TETAPI DIHANTAR OLEH SULTAN RIJALUDDIN UNTUK MELOMBONG BIJIH DILUKUT DAN MEMBINA KOTA LUKUT. TOM PIRES, SEORANG DIPLOMAT DAN PENULIS PORTUGIS YANG DATANG KE MELAKA DALAM TAHUN 1512 MENULIS,

'….whoever is Lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.',
BERMAKSUD,SESIAPA YANG MENJADI RAJA MELAKA, TANGAN NYA JUGA MENCENGKAM LEHER VENICE. VENICE YANG DIMAKSUDKAN OLEH BELIAU IALAH AYUTHIA




SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
NAI HSBU MADZAM SYAH
INTARAJA II, SONG THAM AYUTHIA
MEMBUKA KOTA BERUAS 1570



SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
SULTAN MAHMUD SYAH MELAKA
SRI SU TAMMARAJA, MANGKAT 1668
BERSEMAYAM DI KOTA BERUAS PERAK


SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
SULTAN MUHIYUDDIN MANSOR SYAH
KHALIFAH EMPAYAR ISLAM SIAM KOTA BERUAS, NAGARA KEDAH PASAI MA.
BERSEMAYAM DI KOTA PALAS LANGKAWI.
MAKAM BAGINDA DI LANGKAWI DI KATAKAN SEBAGAI MAKAM PURBA.


SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
KHALIFAH SYARIF ABU BAKAR SYAH AL HAJ
BOROMORAJA EKATAAT V AYUTHIA, CHAU PIJA SI THAMMARAT
YANG DIPERTUAN YANG MAHA MULIA
PEMERINTAH AYUTHIA YANG TERAKHIR SEBELUM EMPAYAR INI DITAWAN SUKHOTHAI.BAGINDA MANGKAT SEMASA KORBAN MUSUH BISIK 1821 DIBUNUH THAI DI ISTANA KOTA MEANG KUANG, BANDAR DARULAMAN KEDAH.

“Siamese King Chau Pija Si Thammarat, Sultan Sarib Shah Monggol, Siamese King , render of Islamic Emperor Pasai Siam which is in Siamese language known as Cau Pija Si Thammarat, Sultan Sarib Shah Monggol, Hereditary from Raja Siam of Dynasty Pija Maha Zin Tadhu Toung Oo Siam and Raja Ayu The Ya India, Sultan Bahador Shah Monggol, Son in law of Raja Siam Toung Oo Siam”. The Islamic Siamese King started from 1350 - 1767 -PROF DGE HALL, “A HISTORY OF SOUTH EAST ASIA”, 1955


SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
SULTAN MADZAFAR SYAH III
PUTERA SULONG ATAU KOYA LONG
PERNAH MENJADI SULTAN DI CEMPAKASARI KEMBOJA (1727), BERGELAR PO CHUN, BERSEMAYAM DI KUALA KANGSAR DAN BERUAS 1728 -1756, MENABAL DENGAN PENUH ISTIADAT SULTAN SELANGOR YANG PERTAMA RAJA LUMU BERGELAR PADUKA SERI SULTAN SALEHUDIN SYAH PADA TAHUN 1743.


SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
SYED ALANG ALAUDDIN ATAU PANGLIMA BUKIT
GANTANG
BERSEMAYAM DI ISTANA KUNING, ALOR SETAR. MANGKAT TAHUN 1862.ANTARA ADINDA BAGINDA IALAH PADUKA SERI TUNKU TA MOHAMMAD, RAJA INDERA SAKTI, DATUK NAI INDERA JAYA, PADUKA SERI SULTAN ALI, RAJA RIAU LINGGA, PADUKA SERI TUNKU LONG ISMAIL, RAJA FILIPINA.


SYAH ALAM YANG MAHA MULIA
SULTAN JAAFAR MADZAM SYAH
TUNKU LONG JAAFAR,
MELANTIK NGAH IBRAHIM MENJADI MENTERI DILARUT MENGGANTIKAN TEMPAT BAGINDA. ADINDA BAGINDA PADUKA SERI SULTAN TUNKU ABU TOHA MENJADI RAJA BAGAN SERAI PERAK DAN DIBUNUH INGGERIS DALAM TAHUN 1876. ADINDA BAGINDA DIGELAR KERAMAT TOK PERANG. BAGINDA SYAH ALAM YANG MAHA MULIA SULTAN JAAFAR TELAH DIBUNUH PENJAJAH INGGERIS DAN THAI DALAM TAHUN 1876 DAN BERMULALAH PENJAJAHAN KEDAH OLEH THAI SELAMA 5 TAHUN DARI 1876-1891.



Malang sungguh nasib generasi hari ini,subjek sejarah mula terpinggir,tidak keterlaluan jika dikatakan generasi hari ini membenci sejarah,mana silapnya

Sejarah kita telah dimanipulasi oleh pihak penjajah inggeris laknatullah sehinggakan kita orang Melayu beragama islam tidak mempunyai apa-apa peradapan yang patut dibanggakan.Sedangkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.

Ini sedikit sebanyak menjelaskan kepada kita tentang asal usul kesultanan melayu yang sebenar.Menurut pihak tertentu,kesultanan melayu di malaysia berasal dari Indonesia,namun bukti ini menyangkal dakwaan itu.

Menurut sejarah versi penjajah juga,pearameswara melaka asalnya beragama hindu,namun hakikatnya,Islam telah bertapak di semenanjung melaka jauh lebih awal.

Buat pengetahuan semua,nama tanah melayu tidak pernah wujud,ianya muncul selepas kedatangan British si penjajah kafir.Ianya bertujuan untuk menutup sejarah empayar melaka yang lebih gilang gemilang kerana cemburukan Melaka yang menjadijan Islam sebagai keutamaan dalam pentadbiran.pihak British tidak dapat menerima hakikat bahawa di timur,terdapat satu kerajaan Islam yang makmur dan amat berpengaruh...

Dan kita hari ini masih menggunakan sejarah versi penjajah,walaupun negara kita telah 50 tahun lebih merdeka...


Selasa, Ogos 03, 2010

SAIDATINA AMINAH BINTUN WAHB

Beliau meupakan wanita agung yang telah mengandungkan nutfah yang mulia Saidina Muhammad Saw. Berketurunan Bani Asad Ibn Abd ‘Uzza. Telah dipertemukan Allah jodohnya dengan Abdullah Ibn Abdul Muttallib, pembesar Quraisy. Abdullah Ibn Abdul Mutallib adalah seorang pemuda yang kacak, diceritakan dicelah kedua kening beliau terpancarnya cahaya dengan cahaya nubuwwah sebagai petanda yang beliau bakal menjadi bapa kepada segala penghulu anbiya’.

Abdullah adalah anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttallib. Tatkala sumpah ayahnya untuk menyembelih salah seorang anaknya sebagaimana lazim adat jahiliyyah pada ketika itu jatuh keatas Abdullah, lantas diganti dengan seratus ekor unta sebagai menggantikan nyawa Abdullah anak yang paling dikasihi.

Sesungguhnya Allah telah berfiman di dalam surah Ali-Imran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibahim dan keluarga ‘Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing). (Sebagai satu keturunan yang sebahagiannnya (keturunan) dari yang lain. Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Khamis, Julai 01, 2010

Generasi Muda Mesti Sedar Tanggungjawab

Sikap tak kisah hak sebagai pengundi boleh gugat kuasa orang Melayu pada masa depan

KEGAGALAN golongan muda mendaftar sebagai pengundi baru kini menjadi persoalan penting serta cabaran baru dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia.

Di kebanyakan negara demokrasi apabila seseorang itu mencapai usia 18 atau 21 tahun mereka perlu mendaftar bagi membolehkan mereka mengundi, seterusnya menentukan parti mana yang akan membentuk sesebuah kerajaan.

Apakah masalah atau kekangan sehingga membuatkan golongan muda ini tidak mendaftar sebagai pengundi, walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan bagi membolehkan mereka ini mendaftar seterusnya dapat membuang undi pada pilihan raya umum atau kecil yang akan diadakan.

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, undi golongan minoriti mampu menentukan kemenangan sesebuah parti jika kaum majoriti yang layak mengundi tidak mahu atau mengambil mudah akan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno, baru-baru ini mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga bulan ini ialah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40).

Pengerusi biro itu, Hishamudin Yahya, ketika mendedahkan perkara itu melahirkan kebimbangan dengan senario itu yang seharusnya menyedarkan orang Melayu di negara ini bahawa kuasa politik mereka boleh terhapus jika terus enggan mendaftar sebagai pengundi atau mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Fenomena tidak mendaftar sebagai pemilih atau keluar mengundi dikatakan sebagai satu aliran yang boleh dilihat di mana-mana negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Eropah. Dikatakan semakin maju sebuah masyarakat, semakin kurang rakyatnya keluar mengundi pada pilihan raya.

Jika aliran itu benar, apakah pemilih yang keluar mengundi Presiden Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menunjukkan kurang 50 peratus rakyatnya keluar mengundi, bermakna presiden negara itu sebenarnya dipilih oleh golongan minoriti? Apakah negara yang menggunakan pakai sistem demokrasi berparlimen melalui pilihan raya seperti Malaysia bakal berhadapan situasi sama?

Beberapa faktor dikatakan menjadi punca golongan muda yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi seperti sikap selesa dengan keadaan semasa dan tidak mahu menempuh kesulitan kerana perlu menukar alamat pada kad pengenalan bagi membolehkan seseorang itu mendaftar mengundi di tempat tinggal masing-masing.

Ada juga golongan ini yang beranggapan satu undi mereka tidak akan membawa makna dan perubahan serta berpendapat mendaftar sebagai pengundi sesuatu yang remeh.

Namun, golongan muda ini khususnya orang Melayu mungkin tidak sedar bahawa kegagalan mereka mendaftar sebagai pengundi dan mengundi pada pilihan raya akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa walaupun mereka majoriti di negara ini.

Pensyarah program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat, berkata jika kadar pendaftaran pengundi Melayu kekal begitu ia akan memberi kesan kepada keupayaan orang Melayu mempertahankan kuasa politik mereka.

Berdasarkan keadaan itu, katanya, memang jelas kesedaran dari aspek tanggungjawab kenegaraan di kalangan pengundi muda terutama dalam kalangan orang Melayu rendah berbanding kaum lain yang lebih memahami kedudukan mereka sebagai minoriti.

“Kebanyakan golongan muda Melayu lahir dalam keadaan semuanya sudah tersedia dan tidak perlu bagi mereka bersusah payah, apatah lagi untuk mendaftar sebagai pemilih,” katanya.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP parti terbesar mewakili kaum Cina dalam pakatan itu melihat ada peluang untuk mereka meraih lebih banyak kerusi sama ada di Parlimen atau kerajaan negeri seperti yang berlaku di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, katanya, untuk memastikan suasana dan momentum kemenangan itu dipertahankan, DAP perlu mencari sebanyak mungkin pengundi berdaftar terutama golongan muda yang layak untuk mengundi pada PRU ke-13.

Beliau berkata, peluang untuk memenangi sesuatu pilihan raya itu dilihat lebih terbuka, apabila orang Melayu berpecah dalam beberapa parti yang mewakili orang Melayu di negara ini dan ia sekali gus tidak lagi menjadikan mereka kaum majoriti.

Mendapat sokongan pengundi adalah penting kerana tidak ada gunanya sesebuah parti itu mempunyai ramai penyokong, tetapi ketika sama mereka ini tidak layak mengundi disebabkan tidak mendaftar.

Oleh Ridzuan Yop
ridzuanyop@bharian.com.my
2010/07/01

Ahad, Jun 20, 2010

Anak Yang Taat…

Hari itu-selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke K. Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan.

Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki - berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.


'Abg nak beli kuih?' Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya. "Tak apalah di kl... abg dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya. "Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat Setiap yang lalu ditanya... " Tak nak beli kuih saya bang.. Pak cik... kakak atau makcik." Molek budi bahasanya!

Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha.

Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya. Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman.

Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun. "Abg dah kenyang, tapi mungkin abg perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang. katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

" Ambil ni dik! Abang sedekah... tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak.

Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya
.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu. "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya. "Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu? Duit tu abg bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. "Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma ngangguk. Lidah saya kelu nak berkata. "RM25 saja bang.....! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke K. Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah??

Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!!!

(Tulisan diambil dr iluvislam.com)

Khamis, Mei 20, 2010

Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian

Oleh Nik Suhaila Nik Saleh
2010/04/15
ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada binatang dan alam.

Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.

Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Sabtu, April 24, 2010

EMPAYAR ISLAM BENUA SIAM KEDAH

Peta bertarikh 1730 ini menunjukkan kawasan Benua Islam Siam Nagara Kedah sebelum ia ditawan oleh puak Alaungphaya Buddha dari Burma dalam tahun 1767. Peta ini banyak tersebar tetapi kita menyangkakan ia menunjukkan negara Thailand dizaman dahulu. Ini tidak benar kerana ORANG SIAM BUKANYA ORANG THAI. Orang Siam beragama Islam sementara orang Thai dari bangsa Sukhothai, beragama Thevarada Buddha. Peta ini meluas hingga ke Pulau Jawa. Sekiranya kita renungkan kembali, bila masa pula dalam sejarah orang-orang thai sampai ke situ, melainkan orang-orang siam Islam dari rumpun Melayu.


Lihat nama Pulau yang menggunakan perkataan Melayu di Telok Siam,yang dibulatkan merah.






ORTELIUS MELAKAR PETA INI DALAM TAHUN 1603. Negara China turut dimasukkan kerana Maharaja Ming dan kemudiannya Manchu beragama Islam. Mereka menguasai India yang diperintah oleh Monggol India yang beragama Islam. Ini lah yang dimaksudkan BENUA Islam Siam Nagara Kedah.







"Empire of the Great Monggol", Peta tahun 1744 ini menunjukkan kebesaran Kerajaan Islam Monggol di India dan sebahagian Kerajaan Benua Islam Siam Nagara Kedah termasuk Toung Oo, Siam, Langkasuka, Acheh dan sebahagian Melaka. Sebab itulah dalam mengkaji sejarah bangsa melayu perlu skop yang lebih besar dan tidak fokus kepada jajahan Malaysia hari ini sahaja. Kerajaan Siam Islam bercantum dengan Kerajaan Monggol India apabila Zahiruddin Babur Syah berkahwin dengan Mahin Inta Tiral@Tunku Nur Aisyah ibni Sultan Rijaluddin Mohammad Johan Syah (Parameswara Melaka), dalam tahun 1530.

Peta ini menunjukkan BUKTI jajahan Benua Siam Islam di bawah EMPAYAR OF THE GREAT MONGGOL sekitar tahun 1744 SEBELUM ditawan oleh Suku thai yang diketuai oleh Alaungpaya dalam tahun 1767.Terdahulu peta Otelius, tahun 1603 (lihat bawah) menunjukkan ia dibawah kekuasaan Maharaja China. Penduduk di Utara semenanjong yang lahir di Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan tidak memerlukan paspot untuk memasukki Thailand, cukup dengan mendapatkan sekeping "border pass" yang berharga RM 10 sahaja dan 2 keping gambar kerana Raja Chakri menggangap mereka-mereka ini sebagai rakyatnya juga (HIS SUBJECTS).

Isnin, April 19, 2010

Mudahnya Mengeluh, Sukarnya Bersyukur




Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.

Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya:

"Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit"

Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya:

"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab:

"Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur"

Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah"

jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri:

"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"

SubhanaLlah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin...

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

Rabu, April 14, 2010

Ilmu bantu lahirkan keluarga bahagia



PELAJAR 14 tahun ditangkap kerana melacur, pagi pergi sekolah dan sebelah malamnya menjadi pelacur antara kisah benar masyarakat kini. Apabila ditanya mengapa melacur, jawapannya mudah iaitu emak dia juga melacur. Dalam telefon bimbit pelajar itu banyak dirakamkan aksi lucah yang didakwanya dikirim sendiri oleh emaknya. Budak dua beradik berusia 11 dan 12 tahun ditahan di Penjara Kajang kerana terbabit dengan jenayah. Ibu bapa kedua-dua budak itu enggan menjamin kerana sudah tiada kuasa melayan kerenah anak yang dianggap tidak dapat dikawal. Mereka bersedia melihat anak dipenjara dengan harapan dapat dididik oleh pihak penjara. Seorang gadis berusia 16 tahun tidak tahu dia sudah mengandung dan meluahkan perasaan tidak tahu mengenai seks. Kes seterusnya seorang bapa yang juga seseorang disegani kerana amalan agamanya tidak tahu di mana untuk mengasingkan anaknya yang sudah mengandung.

Ini adalah antara kes didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, ketika mengupas tajuk ‘Ilmu Menjana Keluarga Bahagia’ di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Ahad lalu.

Ceramah sulung yang dianjurkan Biro Muslimah masjid itu dihadiri 80 wanita yang mewakili surau yang ada di sekitar Bandar Baru Sentul.

Kes yang didedahkan itu antara krisis moral dihadapi masyarakat kini yang memerlukan kesedaran ibu bapa untuk membendungnya. Ibu bapa yang mempunyai hubungan rapat dengan anak kerana merekalah yang merasai sakit ketika melahirkan, tidak harus membiarkan anak mendapat pandangan orang lain jika berdepan dengan masalah, kata Zawiah ketika menegaskan tanggungjawab ibu bapa.
“Sebagai ibu, kita tidak boleh berasa lega jika anak terperap di dalam bilik kerana banyak unsur tidak baik yang dipelajari anak menerusi komputer dan telefon bimbit.

“Sebenarnya kemudahan internet berguna kalau ia digunakan dengan betul, tetapi jika disalahgunakan, anak kita yang akan merana. Di sinilah ibu bapa perlu dilengkapi dengan ilmu supaya dapat mengawal pergerakan anak,”
katanya.

Seseorang ibu yang tidak berilmu, beramal salih, tidak mungkin dapat mendidik anak ke jalan yang benar. Bukan mudah untuk memujuk anak solat, jika ibu itu tiada kesabaran. Biasanya untuk memastikan anak itu solat, ibu terpaksa berkali-kali bertanya.

“Samalah juga azan yang berkumandang lima kali sehari belum tentu dapat mengajak ummah sembahyang,” katanya.

Seseorang ibu juga perlu bercakap menggunakan bahasa yang baik kerana setiap yang diperkatakan itu adalah doa untuk anak.

“Setiap yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah bercakap benda baik. Kalau apa yang dikatakan itu tidak baik, lebih baiklah diam. Begitulah juga jika kita berdepan sesuatu masalah, jika diam lebih baik sebagai jalan penyelesaian kepada kekusutan, maka ia lebih baik daripada kita bercakaran sehingga membawa kemusnahan,” katanya.

Zawiah juga menyentuh gejala sosial yang berlaku berpunca daripada kepincangan rumah tangga.

Ada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga mengaku tidak selesa hidup bersama kerana masing-masing mengabaikan solat.

“Apakah selamat hidup kita apabila suami, emak mentua tidak menunaikan ibadat tiang agama itu,” soalnya.

Pengaruh sekeliling menyebabkan kanak-kanak cepat baligh. Kalau dulu remaja baligh pada usia 15 tahun, kini ada kanak-kanak sudah baligh pada usia 10 tahun.

“Purata umur bagi lelaki berkahwin sekarang ialah 28.8 tahun, manakala wanita 25.6 tahun. Bayangkan masa yang terlalu panjang dilalui selepas baligh pada usia 10 tahun? Akibat faktor ini banyak gejala tidak sihat berlaku kerana tidak dapat mengawal nafsu,” tambahnya.

Bagi membendung gejala sosial, ibu bertanggungjawab menjelaskan kepada anak gadis mengenai apa yang perlu dibuat dan dielak apabila sudah datang haid. Mereka tidak boleh lagi bermesra dengan adik beradik lelaki, mahupun bapa sendiri bagi mengelak sumbang mahram.

Malangnya, oleh kerana sibuk dengan kerja harian, ada ibu lupa tanggungjawab mendidik anak dan ia menjadi punca anak pergi kepada rakan atau ‘peer group’ yang bukan membantu, tetapi meletakkan mereka dalam kemelut yang tiada penamatnya.

Zawiah juga mengingatkan ibu tidak menjadi ‘orang gaji’ kepada anak. Seseorang anak dilarang mengeluarkan kata-kata kasar kepada ibu. “Apabila ibu menjaga cucu dan mungkin mengabaikan tanggungjawab, anak sudah tentu mengeluarkan kata-kata kasar kerana kecuaian itu.

“Sama ada menengking atau perkataan uh! sekalipun ia tetap mengecilkan hati ibu dan perbuatan ini adalah berdosa. Lainlah jika cucu itu dah besar dan boleh memimpin neneknya ke masjid,” katanya.

Dalam mengharungi usia tua, ibu sepatutnya lebih banyak menghabiskan masa beramal seperti firman tuhan bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal salih dan berpesan kepada kebenaran dan kesabaran” (Al’Asr).

Dalam melalui kehidupan ini ingatlah pesan Rasulullah, jaga lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu: muda sebelum tua; senang sebelum datangnya sibuk; kaya sebelum miskin; sihat sebelum sakit dan hidup sebelum datangnya kematian.

berita harian(13/4/2010)

Jumaat, April 02, 2010

Hidup manusia diatur sejak dalam rahim

DARI Anas, dari Nabi Muhamad sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (setelah malaikat mendapat jawapannya) maka dia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.” (Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad).

Dalam hadis ini, Rasulullah menyatakan: “Bahawa setiap anak dalam kandungan ibunya ada malaikat yang ditugaskan Tuhan mengenai peringkat-peringkat kejadiannya - mulai dari jatuhnya air benih ke dalam rahim ibunya sehinggalah ia cukup sifat-sifatnya sebagai seorang manusia dan malaikat inilah juga yang menulis apa-apa jua yang berhubung dengannya meliputi rezeki dan ajalnya, dan nasib baik atau buruknya.”

Kesimpulannya: Tiap-tiap seorang anak Adam itu dijadikan oleh Allah menurut apa yang diaturkan-Nya.

Rabu, Mac 31, 2010

Abdullah Fahim - Ulama mahir ilmu falak

ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.

Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.
Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.
Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.
Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.
Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.

Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)
Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).
Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.
Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.
Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.
Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.
Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.
Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.
Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).
Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:
``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah,
``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.
Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis,
``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``

Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.
Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.
Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis,
``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''

Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.

Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.
Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.

25 Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya

Daripada Abdullah bin 'Amr r.a Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sampaikanlah Pesanku Biarpun Satu Ayat..."

1. Hai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2. Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.


3. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawaduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.


4. Hai anakku, seandainya ibu bapa marah kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.


5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.


6. Selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.


7. Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak berbicara hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.


8. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkut batu besar dan besi tetapi ianya lebih berat daripada itu, seandainya engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.


9. Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Jika tiada sesiapa yang layak, sebaiknya dirimulah sahaja yang menjadi utusan.


10. Jauhilah sifat dusta, sebab dusta itu memberikan akibat yang berbahaya.


11. Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir di majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.


12. Janganlah engkau makan sampai terlalu kenyang kerana sesungguhnya makan yang terlalu berlebihan itu adalah lebih baik diberikan kepada anjing sahaja.


13. Hai anakku, janganlah engkau terus menelan sesuatu kemanisan dan memuntahkan sesuatu kepahitan kerana manisnya itu belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.


14. Makanlah makananmu bersama-sama dengan mereka yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.


15. Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.


16. Hai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.


17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.


18. Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.


19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkah laku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.


20. Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia sahaja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.


21. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.


23. Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.


24. Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya hati menjadi sejuk apabila mendengarkan nasihatnya, hidupkan hati dengan cahaya hikmah daripada mutiara kata-katanya, kerana ianya bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.


25. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau buang dunia ini ke dalam bakul sampah kerana engkau akan menjadi pengemis yang menjadi bebanan orang lain. Janganlah engkau peluk dunia ini ibarat meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Play Strategy Game on MarketGlory

Pengikut

Lihat Juga