Sikap tak kisah hak sebagai pengundi boleh gugat kuasa orang Melayu pada masa depan
KEGAGALAN golongan muda mendaftar sebagai pengundi baru kini menjadi persoalan penting serta cabaran baru dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia.
Di kebanyakan negara demokrasi apabila seseorang itu mencapai usia 18 atau 21 tahun mereka perlu mendaftar bagi membolehkan mereka mengundi, seterusnya menentukan parti mana yang akan membentuk sesebuah kerajaan.
Apakah masalah atau kekangan sehingga membuatkan golongan muda ini tidak mendaftar sebagai pengundi, walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan bagi membolehkan mereka ini mendaftar seterusnya dapat membuang undi pada pilihan raya umum atau kecil yang akan diadakan.
Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, undi golongan minoriti mampu menentukan kemenangan sesebuah parti jika kaum majoriti yang layak mengundi tidak mahu atau mengambil mudah akan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno, baru-baru ini mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga bulan ini ialah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40).
Pengerusi biro itu, Hishamudin Yahya, ketika mendedahkan perkara itu melahirkan kebimbangan dengan senario itu yang seharusnya menyedarkan orang Melayu di negara ini bahawa kuasa politik mereka boleh terhapus jika terus enggan mendaftar sebagai pengundi atau mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Fenomena tidak mendaftar sebagai pemilih atau keluar mengundi dikatakan sebagai satu aliran yang boleh dilihat di mana-mana negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Eropah. Dikatakan semakin maju sebuah masyarakat, semakin kurang rakyatnya keluar mengundi pada pilihan raya.
Jika aliran itu benar, apakah pemilih yang keluar mengundi Presiden Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menunjukkan kurang 50 peratus rakyatnya keluar mengundi, bermakna presiden negara itu sebenarnya dipilih oleh golongan minoriti? Apakah negara yang menggunakan pakai sistem demokrasi berparlimen melalui pilihan raya seperti Malaysia bakal berhadapan situasi sama?
Beberapa faktor dikatakan menjadi punca golongan muda yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi seperti sikap selesa dengan keadaan semasa dan tidak mahu menempuh kesulitan kerana perlu menukar alamat pada kad pengenalan bagi membolehkan seseorang itu mendaftar mengundi di tempat tinggal masing-masing.
Ada juga golongan ini yang beranggapan satu undi mereka tidak akan membawa makna dan perubahan serta berpendapat mendaftar sebagai pengundi sesuatu yang remeh.
Namun, golongan muda ini khususnya orang Melayu mungkin tidak sedar bahawa kegagalan mereka mendaftar sebagai pengundi dan mengundi pada pilihan raya akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa walaupun mereka majoriti di negara ini.
Pensyarah program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat, berkata jika kadar pendaftaran pengundi Melayu kekal begitu ia akan memberi kesan kepada keupayaan orang Melayu mempertahankan kuasa politik mereka.
Berdasarkan keadaan itu, katanya, memang jelas kesedaran dari aspek tanggungjawab kenegaraan di kalangan pengundi muda terutama dalam kalangan orang Melayu rendah berbanding kaum lain yang lebih memahami kedudukan mereka sebagai minoriti.
“Kebanyakan golongan muda Melayu lahir dalam keadaan semuanya sudah tersedia dan tidak perlu bagi mereka bersusah payah, apatah lagi untuk mendaftar sebagai pemilih,” katanya.
Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP parti terbesar mewakili kaum Cina dalam pakatan itu melihat ada peluang untuk mereka meraih lebih banyak kerusi sama ada di Parlimen atau kerajaan negeri seperti yang berlaku di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Sehubungan itu, katanya, untuk memastikan suasana dan momentum kemenangan itu dipertahankan, DAP perlu mencari sebanyak mungkin pengundi berdaftar terutama golongan muda yang layak untuk mengundi pada PRU ke-13.
Beliau berkata, peluang untuk memenangi sesuatu pilihan raya itu dilihat lebih terbuka, apabila orang Melayu berpecah dalam beberapa parti yang mewakili orang Melayu di negara ini dan ia sekali gus tidak lagi menjadikan mereka kaum majoriti.
Mendapat sokongan pengundi adalah penting kerana tidak ada gunanya sesebuah parti itu mempunyai ramai penyokong, tetapi ketika sama mereka ini tidak layak mengundi disebabkan tidak mendaftar.
Oleh Ridzuan Yop
ridzuanyop@bharian.com.my
2010/07/01