Terdapat ralat dalam alat ini

Rabu, Mac 31, 2010

25 Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya

Daripada Abdullah bin 'Amr r.a Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sampaikanlah Pesanku Biarpun Satu Ayat..."

1. Hai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2. Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.


3. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawaduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.


4. Hai anakku, seandainya ibu bapa marah kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.


5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.


6. Selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.


7. Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak berbicara hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.


8. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkut batu besar dan besi tetapi ianya lebih berat daripada itu, seandainya engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.


9. Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Jika tiada sesiapa yang layak, sebaiknya dirimulah sahaja yang menjadi utusan.


10. Jauhilah sifat dusta, sebab dusta itu memberikan akibat yang berbahaya.


11. Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir di majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.


12. Janganlah engkau makan sampai terlalu kenyang kerana sesungguhnya makan yang terlalu berlebihan itu adalah lebih baik diberikan kepada anjing sahaja.


13. Hai anakku, janganlah engkau terus menelan sesuatu kemanisan dan memuntahkan sesuatu kepahitan kerana manisnya itu belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.


14. Makanlah makananmu bersama-sama dengan mereka yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.


15. Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.


16. Hai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.


17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.


18. Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.


19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkah laku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.


20. Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia sahaja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.


21. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.


23. Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.


24. Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya hati menjadi sejuk apabila mendengarkan nasihatnya, hidupkan hati dengan cahaya hikmah daripada mutiara kata-katanya, kerana ianya bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.


25. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau buang dunia ini ke dalam bakul sampah kerana engkau akan menjadi pengemis yang menjadi bebanan orang lain. Janganlah engkau peluk dunia ini ibarat meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Play Strategy Game on MarketGlory

Pengikut

Lihat Juga